Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Saturday 13 December 2014

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA ungguli pentas akhir hoki...

Dua pasukan hoki dari Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli pentas akhir kategori liga perdana Pesta Hoki USM - Penang International edisi ke-41 yang berkesudahan menyaksikan USM Nibong Tebal (NT) menjuarai kategori utama selepas menewaskan Kelab Sukan Staf USM (KSS USM) dengan jaringan 3-1. 

 Turut hadir pada kejohanan yang menjadi tumpuan peminat-peminat hoki di rantau Asia itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein dan pegawai-pegawai utama universiti. Sementara itu, Adnan dalam ucapannya berkata, USM sentiasa memberikan pengupayaan kepada mahasiswanya untuk melibatkan diri dalam mengelolakan aktiviti kampus dengan sepenuh kebebasan.

 Katanya, pelajar diberi peluang melakukan apa jua aktiviti dengan kreativiti masing-masing dalam usaha universiti menyediakan mereka menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan. “Pesta hoki adalah antara komitmen dan kesungguhan jitu yang ditunjukkan oleh mahasiswa, sehingga jenamanya berkembang dan dikenali merentasi sempadan negara,” katanya. Tambahnya lagi, pada tahun ini, sebanyak lima buah negara telah menghantar lebih daripada 30 pasukan, antaranya Pakistan, India, Sri Lanka, Thailand dan juga Taiwan.

 Pesta Hoki USM - Penang International edisi ke-41 itu merupakan satu-satunya karnival hoki yang telah empat kali diiktiraf sebagai kejohanan hoki yang terbesar dan ‘The Longest Non-Stop Hockey Tournament’ di Malaysia dalam Malaysian Book of Records. Kejohanan yang turut memperlihatkan bakat-bakat muda sukan hoki negara ini juga menggunakan Our Passion, Our Game, Our Legacy sebagai tema dengan menawarkan pelbagai kategori termasuk Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, IPT Terbuka, Lelaki Junior Bawah 18, Perempuan Junior Bawah 18, Lelaki Bawah 12 dan 15 serta Perempuan Bawah 12 dan 15. – www.usm.my

No comments:

Post a Comment