Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Tuesday 9 December 2014

Penyokong Vietnam diminta lapor kepada polis


Penyokong Harimau Malaya menyalakan suar selepas skuad negara

Penyokong Harimau Malaya menyalakan suar selepas skuad negara tewas 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014 di Stadium Shah Alam, Shah Alam Ahad lalu.

KUALA LUMPUR - Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim meminta penyokong Vietnam yang menjadi mangsa keganasan sewaktu perlawanan separuh akhir Piala AFF di Shah Alam Ahad lalu agar membuat laporan polis.
“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang laporan daripada penyokong Vietnam yang terlibat. Saya harap mereka dapat tampil ke depan bagi membantu siasatan,” katanya, yang juga Pe­ngarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Sambil melahirkan kekesalan terhadap insiden penyokong Vietnam dipukul sewaktu perlawanan menentang Malaysia itu, katanya, kejadian itu tidak akan berlaku jika penyokong negara ini bijak mengawal emosi dan tidak mudah melatah.
“Perbuatan yang penyokong kita lakukan ini memang tidak mencerminkan sikap berhemah atau peradaban yang tinggi. Saya nasihatkan kepada penyokong di luar sana setiap kali hendak lakukan sesuatu ingatlah maruah negara. Jangan sampai orang luar pandang tak elok pada kita,” katanya.
Menurut Muhammad Fuad, ekoran insiden tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap beberapa penyokong yang bertindak liar sehingga mencetuskan kekecohan sebaik perlawanan itu berakhir.

Jelasnya, sikap degil segelintir penyokong yang tidak menghormati undang-undang dan enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa telah mengakibatkan insiden tersebut berlaku.
“Memang sukar untuk mengawal 60,000 hingga 70,000 penyokong yang hadir ke stadium. Apa yang kita harapkan adalah kerjasama penyokong agar tidak mencetuskan pergaduhan. Suar juga mereka bakar walaupun kita telah beri amaran jangan bertindak demikian,” ujarnya.

Muhammad Fuad turut menyua­rakan kebimbangannya terhadap kemungkinan penyokong Vietnam bertindak balas apabila skuad bimbingan Dollah Salleh beraksi di Hanoi nanti.“Saya harap rakyat Malaysia yang hendak memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan supaya berhati-hati ketika berada di Vietnam,” katanya mengingatkan.


No comments:

Post a Comment