Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Saturday 13 December 2014

Pertandingan lembu tercantik dan sasa di Terengganu

KUALA TERENGGANU 12 Dis.- Para penternak di negeri ini mungkin boleh melupakan seketika hasrat untuk menjual sebilangan ternakan kesayangan mereka kerana kerajaan Terengganu akan mengadakan pertandingan lembu tercantik dan paling sasa tahun depan. Pertandingan itu dijangka bermula Mac tahun depan dengan ganjaran lumayan disediakan oleh kerajaan negeri bagi pemilik haiwan yang dipilih sebagai pemenang, termasuk hadiah utama sebuah kereta bagi juara peringkat negeri. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad memberitahu, program itu diperkenalkan bagi merangsang dan menghargai usaha para penternak yang memelihara haiwan dengan, baik termasuk dari aspek pemakanan dan kebersihan. “Langkah ini diharap dapat mengubah amalan penternakan secara lepas bebas dan berkeliaran di samping mengambil berat aspek pemakanan dan kesihatan agar proses pembesaran tidak terencat, sekali gus dapat memberikan pulangan hasil yang lebih besar, malah secara berterusan,” ujarnya. 

 Bercakap kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, Nawi memberitahu, pertandingan itu juga dapat menggalakkan orang ramai menceburi bidang ternakan. “Pertandingan akan membabitkan peringkat daerah dan negeri dalam dua kategori iaitu lembu betina dan lembu jantan baka Kedah-Kelantan (KK) dan baka kacukan dari luar negara. “Kemuncak pertandingan akan diadakan pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Terengganu,” katanya. Katanya, lembu betina dan jantan yang dianggap terhebat akan dinilai oleh juri mengikut beberapa kriteria termasuk bentuk badan, saiz dan tahap kesihatannya. “Hadiah-hadiah yang disediakan adalah lumayan.

 Mana-mana penternak yang menangnya tentunya boleh turut menjual ternakan dengan harga yang tinggi terutama untuk dijadikan baka,''ujarnya. Katanya, mungkin ada di kalangan penternak yang hanya memelihara ternakan sebagai hobi dan pertandingan ini tentunya turut menjana pendapatan buat mereka. “Ini suatu pendekatan tambahan yang turut memeriahkan suasana masyarakat penternak dan tentunya akan dinanti-nantikan oleh penternak. Pertandingan hanya terbuka kepada penternak dalam negeri ini,” ujarnya. -

No comments:

Post a Comment