Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Wednesday 3 December 2014

Promosi Kerepek Pisang Dalam Penerbangan MAS



KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan pada Selasa mencadangkan Malaysia Airlines (MAS) menyemarakkan semangat nasionalismenya sebagai syarikat penerbangan negara dengan mempromosi barangan buatan Malaysia.

Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg berkata sebagai contoh MAS boleh mempelbagaikan menu makanan tempatan, mempromosi makanan ringan dan produk kraftangan tempatan dalam penerbangannya terutama penerbangan antarabangsa.

"Dimasukkan juga makanan ringan keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan kita contohnya kerepek pisang untuk menggantikan kacang masin, dengan cara packaging yang serupa termasuklah juga kek lapis Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Malaysia Airlines System Berhad (Pentadbiran) 2014 di persidangan Dewan Negara, di sini.

MAS hendaklah juga menyediakan sekurang-kurangnya 50 peratus produk Malaysia dalam senarai 'in-flight shopping items'.

Sementara itu, beberapa anggota dewan mahu kajian semula kod etika pakaian anak kapal wanita atau pramugari MAS, terutama yang beragama Islam, ketika MAS dalam proses penstrukturan semula.

Ini memandangkan MAS membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Senator Khairiah Mohamed berkata MAS sepatutnya membenarkan pramugari beragama Islam menutup aurat, dan bagi yang bukan Islam, berpakaian lebih sopan.

"Saya menerima maklum bahawa ramai pramugari membuka tudung ketika bertugas sedangkan dalam kehidupan harian mereka, mereka bertudung," katanya ketika membahaskan rang undang-undang tersebut.

Senator Datuk Jahaya Mat Ghani@Abbas pula berkata keuntungan sesebuah syarikat penerbangan bukan bergantung kepada pakaian yang menjolok mata, sebaliknya berdasarkan perkhidmatan terbaik yang disediakan.

"Soal pramugari MAS, kadang-kadang janganlah pakai menjolok mata sangat...pakailah yang tutup aurat, tak salah pun, Royal Brunei pakai tutup aurat, Arab Saudi pakai tutup aurat, bukan itu (pakaian menjolok mata) yang orang nak tengok dalam penerbangan kita," katanya.

Jahaya mempersoalkan mengapa ketika MAS membawa jemaah haji ke Mekah boleh pula pramugarinya berpakaian menutup aurat.

Sementara itu, ketika menggulung rang undang-undang berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan MAS untuk dipertimbangkan.

Rang undang-undang itu, yang antara lain menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad yang akan menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional, diluluskan sebulat suara.

Persidangan dewan bersambung Rabu. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment