Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Tuesday 9 December 2014

Bekas CEO Kontena Nasional didakwa Pecah amanah hampir RM10 juta




SHAH ALAM 9 Dis. - b ekas Ketua Pegawai Eksekutif, Kontena Nasional Bhd. (Kontena Nasional), Hood Osman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah cek bernilai hampir RM10 juta milik dana syarikat berkenaan, tiga tahun lalu.

HOOD OSMAN menghadapi tuduhan pecah amanah sebanyak RM9.9 juta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
Hood, 46, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu melibatkan lapan cek dan dua pindahan telegrafi berjumlah RM9,915,158 kepada sebuah syarikat logistik, Artisan Jaya Logistics, milik rakannya, Abdul Jalil Md. Tahir, 48.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kontena Nasional, Batu 9 Jalan Klang Lama, Seri Setia, Petaling Jaya dekat sini antara 24 Mac 2011 dan 24 Ogos 2012.
Sementara itu, Abdul Jalil juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Hood mela­kukan perbuatan sama di tempat dan tarikh yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Heikal Ismail mengemukakan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Beliau mencadangkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Walau bagaimanapun peguam Oh Choong Ghee yang mewakili Hood memohon ikat jamin RM60,000 dengan alasan anak guamnya kini menganggur dan pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya bercadang mencari pekerjaan di luar negara.
Peguam Mohd. Yatim Awang yang mewakili Abdul Jalil turut memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan selain meminta agar anak guamnya dibenarkan menyimpan pasport kerana akan menunaikan ibadah umrah pada 12 Disember ini.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, namun Abdul Jalil dibenarkan menyimpan pasport untuk mengerjakan umrah dan menyerahkannya kepada mahkamah sekembalinya daripada menunaikan ibadah itu.
Walau bagaimanapun Hood diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dengan kebebasan untuk memohonnya sekiranya perlu.
Noradidah turut menetapkan 6 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-ceo-kontena-nasional-didakwa-1.34783#sthash.sPmSuerg.dpuf

No comments:

Post a Comment