Menurut laman web, Mail Online, kanak-kanak yang digelar ‘Anak Khalifah’ itu dianggar berumur lebih 10 tahun yang memakai pakaian tentera dan topeng sambil memegang senapang AK47 dalam satu latihan ketenteraan.
Sekolah latihan itu dipercayai berada dekat Damsyik yang turut menempatkan beberapa kem latihan remaja yang telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Gambar-gambar tersebut dimuat naik dalam laman web, JustPaste.it yang merupakan sebahagian daripada rakaman simpanan untuk video propaganda IS.
Dalam satu rakaman, sekumpulan besar kanak-kanak berkenaan memegang senjata dan bergambar di hadapan sebuah bas mini dengan bendera kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang merupakan sebahagian daripada IS.

Dalam gambar lain, seorang kanak-kanak diberi senapang AK47 oleh seorang jeneral ISIS dalam satu perbarisan, manakala gambar-gambar berikutnya menunjukkan sekumpulan kanak-kanak menjalani ujian fizikal dan ketenteraan.
ISIS dilaporkan melatih golongan kanak-kanak untuk menyertai pertempuran sejak awal lagi seperti yang didedahkan dalam siri dokumentari tentang IS oleh saluran VICE dalam laman web, YouTube.

Dalam dokumentari terbabit, kanak-kanak lelaki ditanya sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada militan.
Wakil ISIS, Abu Moussa dalam video itu menjelaskan, selepas berumur 16 tahun, remaja lelaki yang mengikuti latihan dihantar ke kem tentera untuk mendapatkan latihan intensif tentang peperangan dan bersiap sedia untuk dihantar ke barisan hadapan atau menjadi pengebom berani mati.

Oktober lalu, gambar-gambar kanak-kanak Syria yang dilatih di sebuah kem tentera ISIS yang terletak di Raqqa turut tersebar yang menunjukkan latihan ketenteraan dan ketahanan yang terpaksa dihadapi oleh golongan muda terbabit.