Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Tuesday 18 November 2014

Remaja perempuan diperlaku sebagai hamba


MENGIKUT definisi, perkahwinan adalah hubungan sah di sisi undang-undang yang disempurnakan melalui upacara sivil atau keagamaan antara dua individu yang ingin tinggal bersama sebagai pasangan seksual dan serumah. Perkahwinan juga adalah asas kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Hanya melalui perkahwinan, lelaki dan perempuan boleh menjalinkan hubungan intim yang sah di sisi undang-undang.

Bagaimana pula definisi perkahwinan bawah umur? Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.

Adakah perkahwinan kanak-kanak ini masih wujud dalam dunia moden ini? Jawapannya, ya. Malah, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memberikan statistik mengejutkan iaitu dalam setiap tiga saat, ada seorang kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin.

Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Setiap tahun, dilaporkan kira-kira 10 juta kanak-kanak dipaksa berkahwin, dengan usia pengantin semuda lima tahun.

Angka itu bukan hanya mengejutkan malah paling ‘menyedihkan’ bagi kanak-kanak berkenaan kerana mereka tidak dapat menikmati kehidupan kanak-kanak yang aktif bermain, bergelak ketawa, belajar dan dibimbing orang dewasa.

          Paling menyedihkan ada yang masih menyusu terpaksa memikul tanggungjawab sebagai isteri dan menjadi hamba kepada suami mereka dan sering mengalami penderaan seksual serta keganasan rumah tangga.

          Ia bukan hanya mengerikan kepada kanak-kanak perempuan yang dipaksa ini, tetapi lebih menakutkan kerana mereka dipaksa untuk menjadi ibu pada usia muda. Adakah anda tahu bahawa punca utama kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 dan 19 adalah kerana bersalin.

Sama ada fizikal mahupun emosi bersedia untuk menjadi isteri dan ibu-ibu, anak-anak gadis ini adalah jauh lebih besar berisiko mengalami komplikasi berbahaya dalam mengandung dan melahirkan anak, menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS .

            Ada juga kanak-kanak lelaki yang melalui perkahwinan awal, namun jumlahnya tidak ramai dan kesan perkahwinan itu tidak sama dengan apa dilalui kanak-kanak perempuan.

            Perbandingan nisbah wanita muda yang berumur 15-19 yang telah berkahwin pada tahun 2003 berbanding kanak-kanak lelaki adalah 72 kanak-kanak perepmuan berbanding seorang budak lelaki di Mali, Amerika Syarikat 8:1 dan El Salvador (6:1).

           Perkahwinan kanak-kanak adalah masalah yang benar-benar global yang merentasi negara, budaya, agama dan etnik. Pengantin kanak-kanak boleh ditemui di setiap rantau di dunia, dari Timur Tengah hingga ke Amerika Latin, Asia Selatan ke Eropah.

           Namun mengikut statistik terkini UNICEF separuh daripada semua pengantin kanak-kanak dunia tinggal di Asia Selatan yang mana 46 peratus daripada kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum mereka mencapai usia 18.

           Kadar perkahwinan kanak-kanak adalah 66 peratus di Bangladesh, Afghanistan (39 peratus), India (47 peratus), negara Sub-Sahara, Afrika (38 peratus) dan Amerika Latin serta negara di Caribbean (29 peratus ).

            Lima negara-negara yang mempunyai kadar tertinggi perkahwinan kanak-kanak (diukur daripada peratusan wanita yang berumur 20-24 tahun yang telah berkahwin atau sebelum usia 18 tahun), negara di Afrika Utara iaitu Niger mencatatkan peratusan 75 peratus diikuti Chad (72 peratus), Mali (71 peratus ), Bangladesh (66 peratus) dan Guinea (63 peratus).

            Apakah punca berlakunya perkahwinan muda terutama di negara membangun? Pertamanya adalah kemiskinan. Kebanyakan negara membangun rakyatnya miskin tegar, justeru mereka menyelesaikan masalah dengan menikahkan anak perempuan mereka kerana ia membolehkan ibu bapa mengurangkan perbelanjaan keluarga.

            Dalam masyarakat yang mana wujud urus niaga ekonomi dalam proses perkahwinan atau ‘harga’ pengantin perempuan ditentukan melalui pemberian ‘mas kahwin’ maka mereka sering menjadi mangsa untuk dikahwinkan pada usia muda.

Tradisi juga menyebabkan kanak-kanak perempuan ini dikahwinkan pada usia muda. Ini berlaku di negara-negara di benua Afrika dan Asia. Mereka yang enggan melaksanakan amalan (perkahwinan usia awal) itu akan disisihkan masyarakat.

Amalan tradisi juga menyaksikan perkahwinan kanak-kanak ini boleh digunakan untuk menyatukan hubungan keluarga atau menyelesaikan pertelingkahan. Keluarga juga mengahwinkan anak-anak perempuan mereka bagi menyekat risiko kehilangan kehormatan diri atau dara sebelum perkahwinan.

Kanak-kanak perempuan juga berkahwin tanpa rela kerana berlakunya ‘peranan gender’ iaitu perkahwinan kanak-kanak dilihat sebagai upacara utama untuk seorang gadis memenuhi peranannya dalam kehidupan. Ketidaksamaan gender juga menyebabkan wanita dan kanak-kanak perempuan dilihat sebagai golongan kelas kedua, dan mereka dinafikan kuasa untuk membuat keputusan mereka sendiri mengenai masa depan masing-masing.

Satu lagi punca perkahwinan kanak-kanak perempuan di awal usia adalah faktor keselamatan yang mana di kawasan konflik, anak gadis dijadikan pengantin untuk ketua pemberontak. Gadis dijadikan taruhan oleh keluarga untuk perlindungan daripada keganasan atau kematian.

Menyedari kepentingan kempen kesedaran mengenai bahaya fenomena pengantin budak ini, satu kempen global ‘Girls Not Brides’ dilancarkan sempena Minggu Sidang Kemuncak Sosial Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, baru-baru ini.

Usaha sama antara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan kerajaan (NGO) itu dibarisi bekas pemimpin dunia itu bertujuan menghimpunkan pemimpin global bagi menangani dan seterusnya menghentikan kegiatan perkahwinan budak ini.

Usaha itu diketuai pemimpin Afrika dan pemenang Nobel, Desmond Tutu yang sebelum ini dikenali kerana usahanya membantu memerangi aparteid di Amerika Selatan.

Hakikatnya, perkahwinan budak bukan sekadar masalah atau penyakit sosial, tetapi turut mengundang kemudaratan kepada budak atau remaja perempuan itu. Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati pengantin kanak-kanak ini akan mengalami masalah mental apabila mereka dewasa.

Justeru, mahu atau tidak, lambat atau sekarang, masalah ini perlu ditangani kerana ia membabitkan soal reproduktif, kesihatan dan kependudukan dunia.

No comments:

Post a Comment