Sitegiant E-Commerce
Powered By Blogger

Sunday 16 November 2014

Hormati kesucian tempat beribadat

JAMIL KHIR BAHAROM menyampaikan elaun sara diri kepada para nelayan kawasan Yan sambil diperhatikan Mohamad Noor Had ( tiga dari kiri ) semasa majlis penyampaian elaun khas secara tunai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Kedah, semalam. – UTUSAN/SAFRIZAL AZMI JERAI 16 Nov. - Semua pihak dinasihatkan agar menghormati kesucian rumah ibadat bagi mengelak sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan tidak menghormati rumah ibadat oleh bukan Islam seperti berhimpun atau tidak menutup aurat ketika berada di surau atau masjid adalah tidak wajar. Menurutnya, beliau meminta semua masyarakat dan agama menghormati kesucian tempat ibadat orang lain kerana bimbang akan mencetuskan isu sensitiviti. “Kehadiran di surau tanpa keperluan sewajarnya akan menimbulkan isu sensitiviti, rasa kurang senang, tidak puas hati sehingga membentuk perpecahan dan rasa marah. “Jadi harapan kita kepada pihak yang nak anjurkan sesuatu, kena ada sensitiviti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun khas kepada 480 nelayan Parlimen Jerai yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohamad Noor Had di Guar Chempedak dekat sini hari ini. Jamil Khir mengulas laporan akhbar hari ini tentang tindakan sekumpulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk yang bukan Islam menggunakan surau Batu 15 Sintok, Kubang Pasu untuk mengadakan Himpunan Promahasiswa yang dilihat mencemar kesucian rumah ibadat itu. Perhimpunan yang bermula 9.45 hingga 11.15 malam itu dipercayai dihadiri oleh kira-kira 100 orang, terdiri daripada pelajar universiti dan penduduk setempat. Difahamkan, ada antara pelajar bukan Islam memakai pakaian tidak sopan menghadiri perhimpunan di surau yang terletak kira-kira empat kilometer dari kampus UUM. Kata Jamil Khir, pelajar tersebut seharusnya lebih sensitif terutama apabila menggunakan surau atau masjid untuk tujuan tertentu apabila melibatkan orang bukan Islam. “Kalau orang masuk dalam surau dalam keadaan tidak lengkap dan tidak menutup aurat tentu akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Islam,” katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menambah baik sistem pengurusannya terutama berkaitan kaedah untuk menawarkan peluang menunaikan haji kepada jemaah terpilih di saat akhir.

No comments:

Post a Comment