Berita baik buat penggemar minuman teh kerana teh bukan sekadar penghilang dahaga tetapi mendatangkan banyak manfaat. Di sebalik teh yang biasa anda minum, jom ketahui jenis-jenis teh lain yang jarang diminum tetapi turut mempunyai kebaikan luar biasa. Mungkin lepas ini, anda boleh selang-seli minum teh mengikut jenis kegemaran.

 

Darjeeling

Rasa teh ini bergantung pada musim ketika daun yang dipilih. Darjeeling mempunyai pelbagai rasa bermula dari rasa sedikit astrigen pada musim bunga, mempunyai rasa kuat dan rasa buah pada musim panas dan rasa ringan pada musim luruh. Kajian juga mengatakan bahawa teh hitam seperti Darjeeling ini mampu membantu mengurangkan risiko diabetes tahap kedua.

 

Suhu kepanasan air: 200-212°

Tempoh rendam: 3-5 minit

 

Pu-erh

Teh penyembuhan zaman purba ini mengalami satu proses penapaian dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan satu rasa yang enak, bersifat 'malty' dan merangsang bakteria yang baik untuk kesihatan. Kajian turut berpendapat teh pu-erh mampu membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular yang menjadi punca kepada obesiti dan kenaikan gula dalam darah.

 

Suhu kepanasan air: 200-212°

Tempoh rendam: 3-5 minit

 

White

Daun teh putih kurang diproses berbanding teh daun hitam, hijau atau oolong. Menurut pengasas dan juga CEO Numi Organic Tea, Ahmed Rahim, teh ini mempunyai rasa halus seperti kesegaran aprikot. Malah kajian juga mendapati, teh putih mampu membantu mencegah kulit yang berkedut dan menggeleber.

 

Suhu kepanasan air: 170-185°

Tempoh rendam: 2-3 minit

 

Oolong

Teh oolong mengalami prosis dioksida atau dikeringkan, dicampur teh hijau atau teh hitam untuk menghasilkan rasa yang hebat. Teh oolong boleh dihasilkan daripada rasa ringan kepada rasa banyak susu dan kaya madu. Teh oolong mengandungi satu sebatian yang boleh membantu menukarkan lemak kepada tenaga.

 

Suhu kepanasan air: 170-190°

Tempoh rendam: 2-3 minit

 

Hibiscus

Ramai yang mengganggap ia bukan sejenis teh tetapi anda boleh mendapatkannya di pasaran dengan nama Hibiscus Tea. Mungkin anda lebih mengenali dengan panggilan teh roselle, bukan? Buah roselle terkenal dengan rasa buahnya yang masam, berwarna seperti magenta gelap dan kaya dengan sumber vitamin C. Minuman teh yang berwarna merah jambu ini mampu membantu mengurangkan tekanan darah sistole. Kajian ini telah dibuktikan menerusi terbitan Journal of Nutrition.

 

Suhu kepanasan air: 212°

Tempoh rendam: 4-6 minit

 

Rooibos

Teh ini diperbuat daripada satu herba yang tumbuh secara eksklusif di Afrika Selatan. Teh rooibus kaya dengan rasa vanila semulajadi. Menurut kajian dari University of Stellenbosch, kandungan tisane bebas kafein ini bersifat antioksidan yang mampu membantu  merendahkan tahap hormon stres kortisol.

 

Suhu kepanasan air: 212°

Tempoh rendam: 4-6 minit

 

 

INFO :

Teh pertama kali ditemukan pada tahun 2737 sebelum masehi oleh seorang maharaja China bernama Shen Nung. Suatu hari, daun teh dari tanaman teh yang ada di kebun milik Shen Nung telah jatuh ke dalam air panas yang sedang dimasaknya. Apabila daun teh tersebut jatuh di dalam air panas, aroma sedap yang terhasil membuatkan Shen Nung tergoda untuk meminumnya. Bukan saja aroma yang wangi tetapi rasanya yang sedap dan sedikit pahit telah membuatkan Shen Nung merasa segar. Shen Nung yang juga handal dalam seni perubatan percaya teh mempunyai khasiat dalam penyembuhan. Teh kemudian berkembang sehingga ke Jepun dan Eropah.