Proses pembentukan tamadun manusia
bermula apabila wujud hubungan,iaitu penyesuaian antara manusia dengan alam
sekelilingnya.Manusia akan memilih kawasan yang memudahkan mereka menjalani
kehidupan harian.Lembah sungai dipilih sebagai lokasi petempatan kekal oleh
manusia pada zaman dahulu disebabkan oleh pelbagai manfaat sungai kepada
manusia.Antaranya termasuklah sumber air,makanan,pengangkutan dan
perhubungan.Hal ini jelas menunjukkan bahawa sungai memainkan peranan yang
penting dalam kehidupan manusia.Namun begitu,masalah pencemaran sungai pada
masa ini amat membimbangkan.
Antara faktor pencemaran sungai ialah
pembuangan sampah sarap ke dalam sungai.Tindakan ini akan menyebabkan kualiti
air sungai merosot dan tidak lagi selamat untuk kegunaan domestik.Hal ini boleh
mengundang krisis air dan menyusahkan individu yang hidup bergantung kepada
sungai.Tambahan pula,pembuangan sampah sarap akan menyebabkan sungai berbau
busuk.Oleh itu,setiap individu mesti bertanggungjawab menjaga kebersihan
sungai.
Selain itu,pembuangan sisa daripada
kilang menyebabkan pencemaran sungai.Sisa daripada kilang yang tidak dirawat
terlebih dahulu akan mengancam kehidupan akuatik di dalam sungai kerana
mengandungi bahan kimia yang berbahaya.Apabila sisa tersebut bercampur dengan
air sungai,tahap kebersihan air sungai merosot dan boleh mengundang pelbagai
penyakit kepada individu yang menggunakan air dari sumber tersebut.Justeru,pihak
yang bertanggungjawab tidak boleh bersikap seperti enau dalam
belukar,melepaskan pucuk masing-masing hanya semata-mata kerana kos pengurusan
sisa dari kilang mahu dijimatkan.
Di samping itu,kegiatan pembalakan
merupakan salah satu faktor perdana pencemaran sungai.Hal ini demikian kerana
apabila pokok-pokok ditebang,struktur tanah akan menjadi lemah akibat kehilangan
sokongan daripada akar-akar pokok yang mencengkam tanah.Keadaan ini menjadi
lebih teruk apabila hujan turun dengan lebat dan jatuh terus ke atas tanah
tanpa halangan.Struktur tanah yang lemah tersebut akan mudah terhakis dan
mengalir bersama air hujan ke sungai.Tanah yang terhakis akan mendap di dasar
sungai dan menjadikan sungai cetek.Apabila hujan turun,sungai tersebut tidak
akan dapat menampung air yang banyak dan akhirnya akan melimpah keluar sehinnga
berlaku banjir kilat.
Konklusinya,sungai memainkan peranan yang
begitu penting dalam kehidupan manusia.Manusia mestilah merancang setiap aktiviti
yang hendak dilakukan dengan baik supaya tidak mengundang kesan negatif kepada
alam sekitar.Sesungguhnya,alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang perlu
dipelihara kebersihan dan keindahannya untuk kebaikan semua hidupan di muka
bumi ini.
Sumber: http://missfeeya95.blogspot.com
No comments:
Post a Comment