Kaum India bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama iaitu melalui kontrak sosial sewaktu zaman penjajah lagi. Samada kemasukan itu suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki, hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri.
Masyarakat India biasanya mengikuti adat
resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari
ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga
mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut
bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat
India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan
membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka
juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu.
Kaum India juga mengamalkan adat bertegur
sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan
sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau
sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu
bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau
makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai
tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika
menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda
kebaikan dan kesyukuran.
Keluarga amat penting dalam masyarakat
India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi
yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan
anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam
tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan
terutama ketika mereka masih dara.
Seorang suami pula didalam masyarakat
India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh
kerana itu, proses perkahwinan India mesti ditentukan oleh seorang ketua
agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang
akan berkahwin. Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting
bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya
malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk,
maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu
matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin
perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan
empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan
untuk menyaksikan perkahwinan itu.
Seperti juga adat kaum-kaum lain,
kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan
masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya
seorang bayi. Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak
boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran,
upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan
buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan
upacara tersebut.
Dalam aspek pemberian nama anak, nama
seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari
kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama
bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku
oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum
wanita mereka.
Dari aspek perayaan, terdapat banyak
perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut
kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang
berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat
Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu
pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga
pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.
Perayaan kaum India diadakan dengan
mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan
mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat
masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam
dan Thaiponggal.
Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai
tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’
ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama
bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama
untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia.
Thaipusam pula adalah perayaan bulan
“Thai” untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga
di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa
perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan
dibawa pelbagai persembahan.
Thaiponggal pula merupakan perayaan
menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah
masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah
akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam
periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga
disedekahkan kepada jiran tetangga.
Melanjutkan perbicaraan terdahulu
berkaitan adat atau disebut juga budaya masyarakat-masyarakat utama
Malaysia, apa yang cuba digambarkan bukanlah bagaimana bentuk adat-adat
tradisi masyarakat di Malaysia semata-mata, tetapi kita berusaha untuk
melihat bagaimana setiap kaum itu mempunyai adat dan kepercayaanya yang
membentuk identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Secara tidak
langsung juga didalam bahagian itu kita telah membicarakan kepentingan
adat kepada kaum-kaum tersebut. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas,
namun jika diteliti, kita pasti akan memahami akan kepentingan adat-adat
itu sekurang-kurangnya sebagai perlambangan identiti dan peribadi
masyarakat mereka.
Bercakap berkenaan identiti dan
keperibadian masyarakat. Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia, kita
tidak hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Malaysia merupakan sebuah
negara yang bangsa-bangsa didalamnya adalah bercampur ataupun dalam
istilah yang lebih mudah, masyarakat yang majmuk. Justeru apa yang ingin
dijadikan topik disini ialah bagaimana kepelbagaian adat didalam
masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu
disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti
kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional. Maknanya kita
perlu membicarakan tentang bagaimana kepelbagaian adat di Malaysia itu
dapat disatukan dan dijadikan sebagai adat yang satu bagi menjadi
lambang identiti dan peribadi nasional. Perlu dibincangkan juga ialah
apakah aspek teras yang menjadi garis panduan budaya nasional ini.
Dalam mengungkap permasalahan ini, kita
sebenarnya hanya perlu mencari aspek adat yang menjadi teras kepada
pembentukan adat nasional yang menjadi perlambangan identiti dan
keperibadian seluruh rakyat Malaysia dan apakah kepentingan aspek adat
itu serta kepentingan identiti dan keperibadian kebangsaan itu sendiri. Namun apa yang penting bagi mengekalkan keharmonian dalam negara kita hormat menghormati itu sangat lah diperlukan...
No comments:
Post a Comment