Apa itu masa?
Masa
mengikut ahli falsafah ialah putaran cakerawala. Umur kita yang diukur
mengikut tahun, hanyalah tertakluk kepada pusingan bumi mengelilingi
matahari. Sekiranya pusingan tersebut semakin laju, maka umur kita
semakin cepat tua. Mudahnya manusia itu tua! Kalau begitu, jangan buang
masa..
Masa berniaga, kautlah keuntungan
Kehidupan
di dunia ini umpama seorang pedagang yang singgah di sebuah tempat
untuk berniaga. Pedagang tersebut perlu mengumpulkan keuntungan sebanyak
mungkin, untuk menikmati kehidupan akan datang. Maka, selagi mana dia
hidup, dia perlu berniaga bersungguh-sungguh, untuk menyara hidupnya di
akhirat nanti.
Malangnya,
di sana terdapat juga peniaga yan rugi, dan mereka akan muflis di
akhirat nanti. Mereka ini tidak mengamalkan 4 petua peniaga berjaya yang
akan diterangkan selepas ini. Di dalam Surah al Asr, Allah SWT telah
menjelaskan 4 petua untuk mendapat keuntungan di dalam perniagaan.
Pertama : Beriman kepada Allah
Petua
pertama yang dijelaskan oleh Allah ialah keimanan. Apabila kita melihat
orang bukan Islam, melakukan amal kebaikan, menderma dan sebagainya,
adakah amalan mereka ini membawa mereka ke Syurga? Tidak. Ini kerana,
mereka melakukan kebaikan untuk manusia, tetapi mereka tidak percaya
kepada Allah yang mencipta manusia. Syurga itu milik Allah, bukan
manusia.
Maka,
rugilah mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT. Bahkan, di kalangan
mereka yang bergelar “Islam” sendiri pun, ada yang belum dikatakan
beriman kepada Allah SWT. Golongan ini dipanggil munafik. Luarnya Islam,
dalamnya kafir. Mereka ini tidak memperoleh keuntungan dan syurga,
bahkan mereka ini telah disediakan neraka yang paling bawah.
Bagaimana
pula dengan orang yang ragu-ragu? Mereka ini juga akan mengalami
kerugian di dalam perniagaan mereka. Iaitu disepanjang hidup mereka. Ini
kerana mereka meragui tentang kekuasaan Allah, meragui keTuhanan Allah
dan sebagainya. Mana mungkin mereka akan memperoleh keuntungan.
Kedua : Beramal Soleh
Adakah
dengan hanya beriman itu sudah cukup untuk menjadikan kita sebagai
peniaga yang memperoleh keuntungan? Tidak sama sekali. Orang Islam yang
mencuri, adalah orang yang rugi, walaupun hasil curiannya berjuta-juta.
Orang Islam yang mengamalkan rasuah, juga mengalami kerugian walaupun
dia menerima suapan rasuah berjuta-juta ringgit.
Maka,
seseorang yang beriman itu, hendaklah melakukan amalan soleh. Sekiranya
tidak, dia masih lagi tergolong dalam golongan yang rugi. Kita perlu
ingat, amal soleh ini hanya boleh dilakukan ketika hidup sahaja. Inilah
perniagaan kita. Sekiranya kita sudah mati, amal apakah yang dapat kita
lakukan? Maka, gunakanlah amalan yang pahalanya tidak terhenti setakat
kematian sahaja, iaitu bersedekah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang
soleh.
Ketiga : Berpesan-pesan Dengan Kebenaran
Ya,
masih lagi dikatakan sebagai orang yang rugi, sekiranya seseorang Islam
itu, melakukan amal soleh, tetapi tidak menyuruh kepada kebaikan dan
mencegah kemungkaran. Mereka beribadah kepada Allah siang dan malam,
tetapi apabila kejahatan berleluasa, mereka hanya pejamkan mata. Apabila
ditanya, mereka menjawab “Biarkan mereka, asalkan aku selamat”.
Anda
tidak selamat sekiranya anda membiarkan kejahatan berleluasa. Anda
perlu menentang dan menghalang kejahatan ini daripada dilakukan.
Sekiranya anda tidak melakukannya, keuntungan apakah yang ingin anda
tuntut dari Allah? Dengan amalan yang dibuat seorang diri? Dengan
kejahatan yang tidak dihiraukan?
Keempat : Berpesan-pesan Dengan Kesabaran
Mereka
yang mempunyai 3 sifat di atas juga, masih belum dikatakan mendapat
keuntungan, sekiranya mereka tidak berpesan-pesan dengan kesabaran.
Kesabaran yang dimaksudkan ialah kesabaran menghadapi ujian Allah SWT.
Allah menguji manusia untuk melihat amalan manusia, dan meningkatkan
keimanan mereka.
Tapi,
sekiranya mereka tidak sabar dengan ujian itu, maka rugilah mereka.
Allah sudah bentangkan ruang untuk mengaut keuntungan tersebut, tetapi
mereka tidak mengutipnya. Apabila diuji, mereka menyalahkan takdir
kerana ujian yang ditimpa tersebut. Maka, rugilah mereka.
Kesimpulan
Manusia
hidup di dunia ini umpama seorang peniaga. Peluang untuk berniaga ini
hanya di dunia sahaja. Sekiranya sudah meninggal dunia, tiadalah lagi
peluang untuk berniaga, sebagai wang saraan untuk kehidupan di akhirat.
Itulah sebabnya, di akhirat nanti, akan wujud golongan yang kaya raya
yang memperolehi keuntungan yang benyak kerana perniagaan mereka di
dunia.
Selain
itu, terdapat juga golongan yang hanya memperoleh keuntungan yang
sedikit. Tidak mampu digunakan untuk menyara kehidupannya di akhirat.
Bahkan, terdapat juga golongan yang rugi. Mereka ini muflis di akhirat
walaupun mereka jutawan di dunia. Maka, Allah SWT berfirman, maksudnya..
Sesungguhnya Allah SWT membeli dari orang yang beriman, jiwa dan harta mereka, yang dibayar dengan syurga..