PROFIL
Nama: Mohd Asri bin Isa
Nama Panggilan: Ben Asri
Umur: 27 tahun
Tarikh Lahir: 9 Oktober 1985
Asal: Kota Kinabalu, Sabah
Pekerjaan: Lepasan siswazah Sen ibina, Twintech International University College of Technology
Lelaki dan cabaran bukanlah satu isu yang pelik dan asing. Ia sentiasa
berkaitan antara satu sama lain. Ruangan Hot Bulan Ini berkongsi cerita
berkaitan cabaran untuk memastikan badan sentiasa sihat dan cergas
bersama jejaka dari Sabah, Ben Asri.
LELAKI DAN CABARAN. APA KATA ANDA?
“Lelaki sentiasa perlu menyahut cabaran. Cabaran di sini mestilah
cabaran yang berkaitan perkara positif dan memberi faedah kepada diri.
Cabaran buat saya sudah tentunya banyak terutama dalam pelajaran,
kerjaya, dan kehidupan.
Jika membincangkan mengenai cabaran untuk menjaga kesihatan dan
kecergasan diri, ia juga satu cabaran yang tidak mudah. Saya perlu
sentiasa berusaha dan tidak boleh leka tentang perkara ini. Lebih
mencabar, tentunya apabila pemakanan perlu dihadkan dan perlu rajin
melakukan senaman di gimnasium. Tetapi itu pada saya tidak menjadi
masalah kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
KEPENTINGAN BERSENAM DAN KECERGASAN DIRI
“Kesihatan. Itu adalah jawapan saya. Dengan bersenam kita akan menjadi
sihat. Bentuk tubuh menarik adalah perkara kedua. Apa yang penting
adalah kita menjadi lebih sihat dan apabila badan sihat, otak kita
secara automatik akan sentiasa berfikir dengan lebih positif dan cerdas.
Selain dari itu, jika bentuk badan kita menarik, ini akan memberikan
kelebihan kepada penampilan . Kita juga akan berasa lebih yakin untuk
tampil menarik di khalayak ramai dan nampak bertenaga. Kesihatan bukan
hanya dari segi luaran, malah dalaman juga perlu dititikberatkan.
Kedua-duanya perlulah seimbang”.
BAGAIMANA CARA PEMAKANAN ANDA?
“Cara pemakanan saya tidak jauh berbeza seperti orang lain. Bezanya
cuma saya cuba mengehadkan kadar pengambilan dan saya menyusun apa yang
perlu dan boleh dimakan serta apa yang tidak patut dimakan. Nasi adalah
makanan wajib saya. Setiap hari walaupun sedikit, saya perlu makan nasi.
Ini bagi memastikan saya terus bertenaga.
Selain nasi, saya akan makan makanan berprotein tinggi. Tidak kiralah
sama ada susu protein yang dibeli dari kedai makanan tambahan ataupun
makanan berprotein yang semula jadi seperti daging, ikan, ayam,
kekacang, dan makanan soya seperti tempe.
Makanan lain yang wajib saya ambil setiap hari adalah telur. Tidak
kiralah sama ada telur rebus, separuh masak, atau telur goreng. Tetapi
selalunya telur rebus menjadi hidangan saya. Setiap hari saya akan makan
sekurang-kurangnya 10 biji telur rebus. Ini adalah sumber protein dan
tenaga yang dirasakan sesuai untuk saya”.
JIKA TIDAK KE GIMNASIUM, APA SENAMAN YANG ANDA LAKUKAN?
“Saya akan melakukan sesi senaman di rumah dengan peralatan yang ada.
Saya ini seorang yang mudah berpeluh. Jika di rumah, saya akan berenang,
bersenam dengan jumping rope dan berjoging. Selalunya jika berjoging,
saya tidak akan mengambil masa yang lama kerana kadar metabolisme saya
berlaku dengan sangat pantas.
Jika saya berjoging terlalu lama, lemak akan dibakar dengan pantas dan
otot saya akan mengecut. Kemudian saya akan menjadi terlalu kurus.
Jadi,saya hanya akan berjoging selalunya tidak lebih daripada 30 minit
setiap kali berjoging”.
DALAM DUNIA MODELLING, BAGAIMANA CARA ANDA UNTUK MELETAKKAN DIRI DIKALANGAN MEREKA YANG BERJAYA ?
“Saya masih baru dan boleh dikatakan masih merangkak. Saya mencuba nasib untuk menyertai beberapa pertandingan seperti ‘Mr Kaamatan’ di Sabah pada 2010, ‘Manhunt Malaysia’ pada 2010, ‘Eyoi Commercial Model Search’
pada 2011, dan yang terkini ‘Pencarian Kacak Bergaya’ anjuran salah
satu akhbar tempatan.Untuk mencapai matlamat dan tujuan utama, saya
perlu bersungguh-sungguh. Saya perlu menjaga bentuk badan dan kesihatan.
Saya juga perlu memberi penekanan pada penampilan diri. Selain luaran,
paling penting juga adalah dalaman. Attitude perlu dijaga. Bila orang
senang dengan kita, kita juga akan berasa selesa dan lebih yakin dengan
diri sendiri”.
PESANAN ANDA KEPADA MEREKA YANG INGIN MENJAGA BENTUK TUBUH DAN PENAMPILAN
“Kepada yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia kecergasan, masih
belum terlambat. Apa yang anda perlukan hanyalah semangat. Labur sedikit
wang untuk daftarkan diri di pusat kecergasan. Jika tidak punya bajet,
anda boleh bersenam di rumah.
Sebelum itu, pastikan aim anda adalah ke arah mana,sama ada inginkan
bentuk tubuh yang lean atau inginkan tubuh seperti bodybuilder. Tapi
sentiasa ingat, ia bergantung pada saiz dan ketinggian anda. Ketika
bersenam pula,anda perlu melakukan senaman yang sesuai dan konsisten.
Tentukan juga senaman yang anda lakukan adalah seimbang.
Seimbang ertinya tidak hanya menekankan bahagian atas atau bawah tubuh,
tetapi kedua-duanya. Contoh senaman mudah yang anda boleh lakukan di
rumah seperti push-up atau menggunakan dumbbell. Jika inginkan senaman
yang akan memberi kesan pada seluruh badan, berenang adalah senaman
paling tepat”.
No comments:
Post a Comment